Thursday, January 3, 2019

Ulasan Ebook oleh Amna Sofea

Ulasan Ebook KUASAI ASAS SUNTINGAN 

Ebook:  Kuasai Asas Suntingan
Penulis:  Hifzaila Hafni
(www.kuasaiasassuntingan.blogspot.com)

----------------------------------------------------

Satu yang terlekat di hati dan minda bila membaca buku ini adalah PANDUAN PENYUNTINGAN KENDIRI.  Subhanallah, saya melakukan proses ini seperti saranan penulis.

Mata saya semerah tulisan dakwat yang diconteng di setiap baris ayat yang ditulis di atas manuskrip sendiri!

Buku ini wajib menjadi rujukan kepada para penulis yang baru memulai langkah di dalam bidang penulisan. Pengalaman penulis dalam bidang penyuntingan dapat dibaca melalui bab-bab berkaitan teknik suntingan seperti suntingan teknikal, bahasa dan terjemahan. 

Buku rujukan yang mudah dan ringkas untuk digunakan. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Puan Hifzaila Hafni atas penghasilan buku ini.

Ulasan oleh Amna Sofea
(http://menemuicameliaditanahlincoln.blogspot.com)

Sunday, December 23, 2018

Tinta Pengarang

Bismillahirahmanirrahim.

"We edit your words, your writing, your sentences and paragraphs... but never your voice."
- Rogena Mitchell-Jones

Menjadi seorang penyunting atau editor, bukanlah kerjaya yang pernah ada dalam bayangan saya. Saya membayangkan diri saya sebagai seorang ibu yang berkerjaya dan menjadi penulis setelah pencen. Namun realitinya amat jauh berbeza.

Allah takdirkan saya sebagai ibu yang bekerja di rumah, dan menulis sebelum tiba umur pencen.

Kuasai Asas Suntingan ini merupakan e-book kedua saya, yang terhasil berdasarkan pengalaman menjadi penyunting selama hampir 13 tahun sebagai penyunting sepenuh masa dan secara bebas (freelance). Saya kongsikan beberapa panduan ringkas tentang suntingan dan penerbitan, asas penyuntingan untuk penulis baharu dan serba sedikit tentang suntingan bahasa.

E-book ini disusun dalam 5 bab yang merangkumi Asas Suntingan, Suntingan Teknikal, Suntingan Bahasa, Suntingan Terjemahan dan Penyuntingan Kendiri. 

Semoga e-book ini dapat memanfaatkan para penulis dalam menghasilkan manuskrip yang berkualiti tinggi dan bebas kesalahan ketara yang menyakitkan mata.

Salam sayang,
Hifzaila Hafni

Monday, December 17, 2018

Ulasan Ebook oleh Mahfuzah Zabidi

Ulasan e-book Kuasai Asas Suntingan


Ebook:  Kuasai Asas Suntingan 
Penulis:  Hifzaila Hafni
(www.kuasaiasassuntingan.blogspot.com)
----------------------------------------------------
"Buku yang tidak melalui proses suntingan umpama rumah yang tidak siap."


Begitulah kurang lebih ayat yang sangat melekat dalam minda saya tatkala saya menghalusi penulisan Puan Hifzaila Hafni dalam buku ini.  

Pengalaman penulis dalam bidang penyuntingan menjadikan buku ini satu kit utama untuk semua penulis yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan.  

Bertepatan dengan tajuk buku, pembaca akan dihidangkan dengan teknik suntingan seperti suntingan teknikal, bahasa dan terjemahan. Panduan penyuntingan kendiri juga turut dibincangkan.  

Dengan mengikut panduan yang dimuatkan dalam buku ini, insya Allah peluang karya diterbitkan dapat ditingkatkan.  

Penerangan yang ringkas dan padat serta menggunakan bahasa yang mudah menjadikan buku ini sangat baik dijadikan rujukan cepat oleh para penulis.  

Saya sendiri baru mengetahui bahawa penyuntingan mengambil masa yang panjang dan mungkin sahaja merupakan satu proses yang melelahkan.

Pendek kata, penyunting atau editor merupakan wira di belakang tabir yang menjadikan sesebuah buku berkualiti.

Namun, melalui buku ini, penulis boleh melakukan sendiri proses penyuntingan tersebut.  Sekurang-kurangnya kesalahan asas dapat dielakkan dan dibaiki.  

Mahfuzah Zabidi
www.strategibelajarulualbab.blogspot.com

Tuesday, December 4, 2018

1.6: Daripada Manuskrip ke Buku

Kebanyakan penulis menyangka selepas manuskrip siap ditulis dan dihantar, setelah lulus terbit, buku sudah boleh tiba di tangan dalam satu ke dua minggu.

Oh, tidak!

Bermula daripada penilaian manuskrip, penyuntingan, pembacaan pruf, percetakan -  seluruh proses ada kalanya mengambil masa berbulan-bulan.

Jangan sangka menerbitkan buku semudah yang disangka kerana ia melibatkan masa dan juga memerlukan kos yang tinggi. Jadi, penerbit akan berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk menerbitkan sesebuah buku.

Setelah manuskrip diterima, editor akan menilai dan membuat keputusan sama ada manuskrip tersebut akan diterbitkan atau sebaliknya.

Kemudian, pihak editorial akan membuat costing untuk melihat perbelanjaan yang perlu serta harga buku yang akan diletakkan. Dalam costing inilah akan dimasukkan jenis dan kos kertas, bilangan halaman hitam putih atau berwarna serta kos freelancer (jika ada) dan pelbagai kos lain.

Proses penyuntingan akan dibuat oleh editor in-charge. Proses inilah yang mengambil masa yang paling lama berbanding proses lain. Setelah disunting, manuskrip akan dihantar untuk diatur huruf kepada pereka grafik. Manuskrip yang telah diatur huruf dikenali sebagai pruf. Biasanya manuskrip akan melalui tiga peringkat pembetulan iaitu pruf pertama, kedua dan ketiga.

Selepas pruf disemak dan editor berpuas hati, pruf akan dihantar untuk cetakan.

(flow chart)

Sunday, December 2, 2018

1.4: Kepentingan Penyuntingan Naskhah

Manuskrip yang tidak disunting ibarat rumah yang tidak siap dan dilihat 'tergesa-gesa'.

Apakah perasaan kita bila membaca sesuatu karya yang banyak kesilapan yang nyata seperti ejaan dan struktur ayat yang tidak difahami?

Pastinya mesej yang ingin disampaikan oleh penulis sukar sampai kepada pembaca, malah meninggalkan kesan yang tidak senang pula.

Maka boleh disimpulkan penyuntingan naskhah amat penting untuk mengelakkan perkara berikut:


  • kesilapan nyata seperti ejaan, kata nama khas, nama seseorang atau organisasi
  • salah faham antara penulis dengan pembaca akibat struktur ayat yang sukar difahami, terlalu panjang atau berulang-ulang
  • ketakselesaan pembaca akibat susun atur yang kurang kemas atau tersekat-sekat
  • reputasi atau kredibiliti seseorang penulis tercalar akibat manuskrip yang banyak kesalahan ketara 
Bagi penulis yang sudah berkali-kali membaca atau melihat manuskripnya mungkin akan terlepas pandang beberapa perkara, atas sebab itulah pentingnya manuskrip itu disunting oleh pihak lain untuk memastikan kualiti yang lebih baik.

1.1: Pengenalan Asas Suntingan

Manuskrip telah selesai ditulis, tibalah masa untuk diterbitkan. Penulis sudah berangan-angan mendapat royalti yang besar, keuntungan yang banyak daripada buku yang terjual.

Namun adakah prosesnya semudah itu, sejurus manuskrip siap ditulis, ia akan terus dicetak dan dipasarkan?

Sama ada manuskrip itu diterbitkan dalam versi e-buku atau fizikal, ia perlu melalui fasa penilaian dan proses penyuntingan.

Buat pengetahuan para penulis, menerbitkan e-buku, mungkin tidak serumit menerbitkan secara fizikal. Penghasilan e-buku biasanya lebih bebas dan fleksibel tanpa terikat pada banyak peraturan. Berbeza dengan penerbitan buku secara fizikal, sama ada melalui penerbit atau terbit sendiri, terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti sebelum diterbitkan, antaranya proses penyuntingan.

Proses untuk menyunting sesungguhnya mengambil masa yang bukan sedikit. Terdapat pelbagai aspek yang perlu dinilai dan diperkemas lebih-lebih lagi jika manuskrip tersebut mahu diterbitkan melalui mana-mana rumah penerbitan. Sekiranya nasib menyebelahi, perjalanannya mungkin mudah. Sebaliknya, manuskrip tadi berkemungkinan ditolak, atau lebih perit tidak mendapat perhatian daripada penerbit kadangkala atas alasan yang remeh sahaja seperti manuskrip tidak ditulis dengan cermat atau terdapat terlalu banyak kesalahan ejaan dan bahasa.

Sunting, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud  memperkemas dan menyiapkan karangan (makalah dan lain-lain) untuk dicetak; mencantumkan; mempersunting; pembetulan atau pembaikan karangan (buku, makalah); penyuntingan perbuatan menyunting (buku, makalah).

Orang yang melakukan suntingan pula dipanggil penyunting atau editor. 

Sesuatu naskhah, setelah selesai ditulis, perlu disunting sebelum diterbitkan. Penulis sendiri boleh melakukan suntingan fasa awal iaitu sunting kendiri untuk memastikan karyanya bebas kesilapan utama dan lebih mesra dibaca. Jika naskhah dihantar kepada rumah penerbitan, pertama sekali editornya akan menilai kemudian barulah menyunting.

Tujuan penyuntingan adalah untuk memastikan naskhah tersebut kemas dan bersih, menepati in-house style mengikut penerbit tertentu serta membaiki dan menambah baik naskhah asal supaya lebih tersusun dan 'cantik' apabila dipersembahkan kepada pembaca. 

Suntingan boleh dilakukan secara manual (hard copy) atau melalui Microsoft Words (soft copy).

Antara aspek penting yang dinilai editor pada sesuatu naskhah adalah kandungan (konten) dan tatabahasa.