Sunday, December 2, 2018

1.1: Pengenalan Asas Suntingan

Manuskrip telah selesai ditulis, tibalah masa untuk diterbitkan. Penulis sudah berangan-angan mendapat royalti yang besar, keuntungan yang banyak daripada buku yang terjual.

Namun adakah prosesnya semudah itu, sejurus manuskrip siap ditulis, ia akan terus dicetak dan dipasarkan?

Sama ada manuskrip itu diterbitkan dalam versi e-buku atau fizikal, ia perlu melalui fasa penilaian dan proses penyuntingan.

Buat pengetahuan para penulis, menerbitkan e-buku, mungkin tidak serumit menerbitkan secara fizikal. Penghasilan e-buku biasanya lebih bebas dan fleksibel tanpa terikat pada banyak peraturan. Berbeza dengan penerbitan buku secara fizikal, sama ada melalui penerbit atau terbit sendiri, terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti sebelum diterbitkan, antaranya proses penyuntingan.

Proses untuk menyunting sesungguhnya mengambil masa yang bukan sedikit. Terdapat pelbagai aspek yang perlu dinilai dan diperkemas lebih-lebih lagi jika manuskrip tersebut mahu diterbitkan melalui mana-mana rumah penerbitan. Sekiranya nasib menyebelahi, perjalanannya mungkin mudah. Sebaliknya, manuskrip tadi berkemungkinan ditolak, atau lebih perit tidak mendapat perhatian daripada penerbit kadangkala atas alasan yang remeh sahaja seperti manuskrip tidak ditulis dengan cermat atau terdapat terlalu banyak kesalahan ejaan dan bahasa.

Sunting, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud  memperkemas dan menyiapkan karangan (makalah dan lain-lain) untuk dicetak; mencantumkan; mempersunting; pembetulan atau pembaikan karangan (buku, makalah); penyuntingan perbuatan menyunting (buku, makalah).

Orang yang melakukan suntingan pula dipanggil penyunting atau editor. 

Sesuatu naskhah, setelah selesai ditulis, perlu disunting sebelum diterbitkan. Penulis sendiri boleh melakukan suntingan fasa awal iaitu sunting kendiri untuk memastikan karyanya bebas kesilapan utama dan lebih mesra dibaca. Jika naskhah dihantar kepada rumah penerbitan, pertama sekali editornya akan menilai kemudian barulah menyunting.

Tujuan penyuntingan adalah untuk memastikan naskhah tersebut kemas dan bersih, menepati in-house style mengikut penerbit tertentu serta membaiki dan menambah baik naskhah asal supaya lebih tersusun dan 'cantik' apabila dipersembahkan kepada pembaca. 

Suntingan boleh dilakukan secara manual (hard copy) atau melalui Microsoft Words (soft copy).

Antara aspek penting yang dinilai editor pada sesuatu naskhah adalah kandungan (konten) dan tatabahasa. 

No comments:

Post a Comment